Arca Seramik Pertama di UiTM Cawangan Perak bersempena KAMI 20/50

Arca Seramik Pertama di UiTM Cawangan Perak bersempena KAMI 20/50

Oleh: KHAIRUL NIZAN MOHD ARIS

Arca awam merupakan salah satu cabang hasil seni yang dibangunkan di ruang awam yang boleh diakses oleh orang awam. Kebiasaannya arca awam di Malaysia  dihasilkan dengan menggunakan material seperti besi, kayu, simen dan batu.  Ini kerana material tersebut adalah bahan yang tahan lama dan mampu menahan cuaca serta sesuai untuk diletakkan di tempat awam. Material seramik juga merupakan satu bahan penghasilan karya seni yang mampu dijadikan sebagai bahan asas dalam membangunkan arca awam ini. Walaubagaimanapun material seramik tidak banyak dijadikan sebagai bahan asas dalam penghasilan arca awam dan boleh dikatakan tiada satu pun arca awam bersaiz besar yang dihasilkan di Malaysia. Ini kerana tiada usaha oleh penggiat seni untuk menghasilkan arca awam dari material seramik disebabkan faktor proses seramik itu sendiri yang rumit dan memerlukan kepakaran khusus.

 

Bagi menyahut cabaran menghasilkan arca awam seramik ini, satu kumpulan pensyarah yang juga merupakan pengarca dari Fakuti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Perak telah membangunkan arca berketinggian 13 kaki yang menggunakan sepenuhnya proses seramik sehingga peringkat menggerlis. Arca ini dibangunkan secara berperingkat menggunakan teknik lempar alin (throwing wheel technique) bermula dari 24 Oktober 2017 dimulai dengan  proses perkembangan idea dan pembinaan model berskala kecil. Kemudian pemilihan bentuk akhir telah dibuat dan kerja-kerja pembinaan dilakukan dan mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan. Oleh kerana saiznya yang besar dan tebal arca ini memerlukan masa yang panjang sekitar tiga minggu untuk dikeringkan seterusnya akan dibakar dan digerlis keseluruhannya.

 

Pemilihan bentuk arca yang diolah dari bentuk pucuk rebung ini dibuat kerana motif pucuk rebung ini memberikan signifikasi khusus bagi seseorang mahasiswa yang memulakan hidup dan pembelajaran mereka di universiti yang akan ‘dilentur’ sehingga menjadi orang yang berguna pada masyarakat bila mereka keluar dari universiti nanti. Ianya juga digambarkan dalam pepatah Melayu iaitu ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, yang menekankan kepentingan mendidik dan membimbing perlu dilakukan ketika masih muda supaya ianya senang untuk dilentur. Jerit perih para mahasiswa dalam mengharungi kehidupan bergelar pelajar bagi mendapatkan ilmu digambarkan di dalam bentuk ‘berliku’ bermula dari peringkat bawah arca sehingga ke puncak arca yang menggambarkan sebagai puncak kejayaan.

 

Projek ini dibiayai oleh pihak UiTM Cawangan Perak dan telah mendapatkan sedikit penajaan dari Syarikat WS Pottery dalam bentuk sumbangan material. Sebanyak hampir satu tan tanah liat telah digunakan dan dibahagikan kepada tujuh bahagian yang akan disambungkan setelah proses pembakaran dilakukan.

 

Penghasilan arca ini yang dijangka mengambil masa keseluruhannya selama dua bulan untuk disiapkan adalah hasil usaha bersama seramai 18 pensyarah dan pelajar yang secara tidak langsung menyumbang kepada perkongsian ilmu dan pengetahuan dalam proses penghasilan arca awam yang berskala besar. Di harapakan dengan pembinaan arca ini akan menjadikannya sebagai mercu tanda yang baru kepada UiTM Cawangan Perak dan sebagai satu hasil seni yang boleh dinikmati secara visual oleh para khalayak. Arca ini juga diharapkan menjadi titik tolak kepada pembinaan banyak lagi arca awam disekililing UiTM Cawangan Perak khusunya dan di tempat2 lain amnya.