Pameran Solo Zainon Abdullah : Perjalanan 2002-2019. Bermula 18 Mac – 15 April

Pameran Solo Zainon Abdullah : Perjalanan 2002-2019. Bermula 18 Mac – 15 April

Zainon Abdullah : Perjalanan 2002-2019

Oleh : Aznan Omar

Pelukis prolifik tempatan Zainon Abdullah menterjemahkan perjalanan berliku beliau menerusi catan. Beliau yang berkecimpung di dalam bidang seni halus lebih dari 20 tahun menampilkan karya catan akrilik bersifat sejagat serta gaya dan stail yang dicetuskan dari seni tradisi dan moden. Beliau menjadikan ruang kanvas sebagai tempat untuk menyatakan perasaan beliau tentang permikiran, kritikan, luahan perasaan, rasa cinta dan kasih sayang menerusi gabungan kesan-kesan sapuan harmoni dan olahan agrasif. Sebanyak 37 buah karya catan dipamerkan di pameran solo beliau yang sedang diadakan di Galeri Al Biruni Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar. Pameran bermula dari 18 Mac hingga 15 April 2019. Majlis perasmian akan disempurnakan oleh wakil Exco Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan negeri Perak pada 5 Mac 2019.

Coretan warna-warna yang pelbagai di atas kanvas merupakan catatan pribadi beliau yang banyak menceritakan tentang perjalanan beliau ketika mula-mula berhijrah ke Perak pada tahun 2002 hingga kini. Beliau yang kini menetap di Teronoh Perak telah menggunakan kepakaran bertukang yang dimilikinya untuk membina studio bersebelahan dengan rumahnya. Studio ini beliau gelar Studio Kawsar. Di sinilah beliau banyak menghabiskan masa berkarya sambil bercucuk tanam, memelihara binatang kesayangan dan membela ikan di dalam kolam yang digalinya sendiri. Suasana Studio Kawsar di dalam taman dengan tanaman exotik dan aliran sungai buatan yang dipenuhi ikan-ikan hiasan, sangat mendamaikan. Persekitaran yang baharu ini telah memberi rangsangan kepada beliau untuk menjadikan objek dipersekitaran dan alam semulajadi sebagai subjek kajian. Beliau mempunyai persepsi tersendiri terhadap alam semulajadi dengan menampilkan subjek ini secara naturalis, mujarad dan separa mujarad. Beliau juga obsesi pada aktiviti harian sehingga telah mengabadikan potret diri merupakan penunggang motosikal berkuasa tinggi di dalam catannya bagi menyatakan minatnya yang mendalam terhadap sukan extrem itu. Karya-karya terkini yang beliau dihasilkan lebih bersifat lokal absrtak yang diliham dari praktik postmodernis bertitik tolak dari pertembungan seni timur dan barat. Nilai-nilai islami banyak diterapkan pada hasil karyanya yang dapat dilihat lebih kepada menghayati keindahan dan mensyukuri nikmat penciptanya. Zainon Abdullah juga tergolong di dalam kumpulan pelukis era Millennium yang menyaksikan penonjolan gaya baharu atau pendekatan pascamodenis berlandaskan reaksi pada pemikiran modenisme dan modeniti. Kebanyakan karya-karya yang beliau dihasilkan ini menerusi pemikiran yang kritis disamping mengutamakan kebebasan berekspresi, dinamis dan tidak terikat pada aturan.

Penglibatan aktif Zainon Abdullah dalam bidang seni halus dapat dilihat di dalam pameran dan pertandingan yang disertainya setiap tahun. Beliau juga pernah memenangi beberapa pertandingan peringkat antarabangsa seperti Honourable Mention Philip Morris, tempat kedua Sand Sculpture Competition di Hong Kong, separuh akhir di 3rd Oita Public Sculture Japan dan juga beberapa pertandingan di peringkat tempatan seperti Formula Malaysia dan pertandingan lukisan di Galeri Shah Alam. Beliau yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah menghampiri 20 tahun perkhidmatannya. Beliau merupakan pakar rujuk kepada seni serantau dan antarabangsa. Beliau juga pernah dilantik sebagai kurator galeri dan telah terlibat dengan kerja-kerja pengkuratoran pada beberapa siri pameran antarabangsa seperti Asia Fiber Art di Malaysia dan Japan. Disamping menjadi pendidik yang mendidik anak bangsa tentang tahap kecelikan seni budaya negara, perkembangan sensitiviti dan kreativiti. Beliau juga pernah dijemput menjadi artis residensi selama satu penggal di Nogoya University of Art Japan di dalam misi menyebar luaskan ilmu tentang seni dan budaya tempatan. Kesemua pengalaman ini telah  dikongsi bersama di dalam catan-catan beliau di pameran solo ini.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *